Tuesday, March 19, 2013

SAKURA GUGUR SEBELUM LAYU

SAKURA hanya berkembang sepuluh hari dalam setahun. Selepas itu ia akan gugur ke bumi ketika masih segar, belum layu.

Jadilah seperti sakura, gugur sebelum layu.

Ya .... saya akan menamatkan perkhidmatan sebelum usia bersara wajib. Sebelum layu ... seperti sakura.

Monday, March 18, 2013

PERTAMA KALI NAIK KAPALTERBANG

PERTAMA kali saya bekerja pada 15 Januari 1983. Selepas enam tahun, saya berpindah ke jabatan lain. Di Jabatan baharu, saya terus ditawarkan berkursus di luar negara, ia itu Jepun pada tahun 1989. Enam tahun bekerja baharulah buat pertama kalinya berpeluang menaiki kapalterbang ...


[kapalterbang ANA (All Nippon Airways].

Itu susahnya orang dulu-dulu ...

MENGAJAR ADALAH CARA BELAJAR YANG TERBAIK

DALAM tahun 1980an dulu, saya pernah buat kali pertamanya memohon kepada bos untuk hadir kursus. Ia adalah kursus yang berbayar. Permohonan saya ditolak.

"Kursus ini sangat asas untuk awak. Awak patut pergi kursus lanjutan".

Beberapa bulan kemudian, saya mohon sekali lagi untuk hadir kursus lanjutan. Ia juga ditolak.

"Awak tidak menepati pra-kelayakan, ia itu hadir kursus asas terlebih dahulu. Awak tidak boleh pergi kursus ini".

Inilah nasib pegawai ICT yang hanya satu-satunya di jabatan itu. One and the only one ...

Lama selepas itu, bos memanggil saya dan memberi arahan supaya saya pergi mengajar subjek yang saya ingin belajar dahulu, ia itu dBase IV.

"Tuan, saya ingin belajar dBase III. Kini disuruh saya mengajar dBase IV pula. Saya tidak boleh mengajar, saya tidak mampu"

"Arahan ini adalah supaya kamu dapat belajar. Bagi saya, cara belajar yang paling berkesan ialah dengan mengajar. Sila buat persediaan sewajarnya dan sila patuh kepada arahan. Terima kasih".

Saya menangis dalam hati mengenangkan nasib saya.... ingin belajar tetapi disuruh mengajar pula. Selepas pengalaman tersebut, saya menjadi pengajar tetap di Pusat Latihan tersebut. Kini ia telah menjadi sebuah universiti. Saya yakin dan percaya bahawa cara belajar yang paling baik ialah dengan mengajar.

NASIHAT YANG MASIH KU INGAT

AWAL tahun 2000, kami membuat satu persembahan kepada pimpinan tertinggi organisasi. Kami cadangkan supaya pengoperasian komputer dibuatr secara berpusat. Ia menjimatkan kos. Ia memudahkan. Ia menyenangkan. Ia praktikal. Ia bagus. Ia adalah amalan terbaik.

Namun bos besar menolaknya dengan sangat berhemah. Katanya cadangan kami memang bagus, namun beliau tidak mahu menerimanya. Katanya Malaysia sendiri mengamalkan sistem teragih. Kita ada Agong di Persekutuan dan kita ada sultan di negeri. Kita ada Perdana Menteri di Pusat dan kita ada Menteri Besar di negeri. Jadi organisasi ini juga begitu. Kita ada HQ dan kita ada cawangan. Status quo.

Setelah kami berhujah lagi... dan lagi... dan lagi... maka bos memebri satu jawapan checkmate.

"Kamu langkah mayat saya dahulu sebelum saya terima cadangan kamu ini".

---> Anda pernah menghadapi situasi seteruk ini sepanjang berkhidmat?.

HARI PERTAMA MELAPOR DIRI

15.1.1983 Dari Taman Sri Gombak, menaiki Bas Mini ke Kuala Lumpur. Turun di Leboh Pasar, berjalan menyusuri pinggir Dataran Merdeka, Bank Negara dan tiba di Kompleks Kerja Raya. Hari pertama bekerja.